Skip to main content

♡ Pengaruh Media Massa dalam Pilihan Raya ♡

PENGARUH MEDIA MASSA DALAM PILIHAN RAYA

PENGENALAN

Media massa merupakan satu wahana yang amat penting kepada setiap individu yang mementingkan isu-isu baru yang menjadi topik perbualan dalam kehidupan harian. Konsep media massa juga dikatakan berubah mengikut perkembangan pengenalan teknologi. Perkataan media merupakan perkataan majmuk yang terbentuk daripada perkataan ‘medium’ yang bermaksud perantaraan, penghubung dan pemantau. Maksud media itu juga telah cukup menggambarkan bahawa media itu merupakan satu alat perantaraan bagi menyalurkan sesuatu maklumat daripada sumber kepada penerima.

Media massa juga telah memperkembangkan minda dan fikiran manusia dengan adanya bantuan teknologi yang kian canggih. Media massa merujuk kepada alat perantaraan yang dibentuk berdasarkan bilangan khalayak yang ramai menerusi beberapa agensi teknologi. Media massa merupakan saluran yang membantu khalayak untuk memahami proses komunikasi, sama ada komunikasi antara individu mahupun komunikasi yang melibatkan antara manusia dengan teknologi. Media massa terbahagi kepada tiga iaitu media cetak, media elektronik dan media alternatif.

Media cetak lebih dikenali sebagai akhbar dan juga majalah. Akhbar menyampaikan maklumat kepada pembaca bagi memenuhi keperluan kehendak mereka mengenai informasi harian. Akhbar juga lebih mementingkan soal ketepatan masa sesuatu berita itu berbanding dengan majalah yang lebih bersifat semasa, maka majalah diterbitkan secara bulanan atau mingguan. Akhbar juga terbahagi kepada dua bentuk iaitu akhbar tabloid yang menyiarkan pelbagai isu terkini dengan bilangan muka surat yang lebih banyak berbanding akhbar ‘broadsheet’ yang diterbitkan dengan bilangan muka surat yang lebih sedikit(G.Manimaran. Dewan Masyarakat, November 2007).

Akhbar juga terbahagi kepada dua aliran iaitu akhbar arus perdana dan akhbar bukan arus perdana. Akhbar arus perdana diterbitkan secara harian yang lebih memberi tumpuan kepada kerajaan seperti akhbar Berita Harian manakala akhbar bukan arus perdana pula diterbitkan secara berkala yang lebih kritikal kepada pihak kerajaan seperti akhbar Harakah.

Media elektronik pula merupakan media yang mempunyai elemen audio dan visual seperti televisyen, radio dan internet. Media elektronik ialah medium yang mempunyai pengaruh kuat selepas media cetak kerana kemampuannya untuk membujuk dan mempengaruhi khalayak. Sistem grafik dan penggunaan warna menerusi iklan-iklan serta rancangan televisyen yang disiarkan mampu mengawal pemikiran dan tindakan khalayak. Manakala media alternatif pula muncul setelah ruang siber semakin meluas digunakan untuk menyalurkan minda dan menjadi pentas dialog antara khalayak. Antara media alternatif yang kini menguasai dunia globalisasi ialah blog, akhbar online, televisyen online dan juga radio online (Padilah Hj.Ali.Dewan Masyarakat,Januari 2007).

Institusi media seringkali dikait rapat dengan institusi pilihan raya di sesebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi seperti di Malaysia. Media massa berperanan menyebarkan perkembangan terkini tentang sesebuah parti yang terlibat dalam pilihan raya sekaligus juga membentuk pendapat umum bagi menentukan keputusan pengundian. Masa depan semua lapisan masyarakat bergantung kepada keputusan pilihan raya yang ditentukan sendiri oleh pengundi-pengundi. Pilihan raya terbahagi kepada dua iaitu pilihan raya kecil dan pilihan raya umum, apabila berlaku kekosongan kerusi disebabkan oleh kematian penyandangnya atau perletakan jawatan maka pilihan raya kecil akan diadakan bagi menggantikan kekosongan tersebut (Syed Arabi Idid. 1994).

Manakala pilihan raya umum pula merupakan peristiwa yang penting bagi rakyat sesebuah negara kerana pembentukan kerajaan baru akan dibuat setelah menjalankan pengundian seluruh negara. Menurut Gouldner (1976), menyatakan bahawa perhubungan antara media dan khalayak adalah terlalu rapat dan saling berinteraksi. Sehubungan dengan itu, media massa mempunyai pengaruh kuat terhadap pendapat umum yang mana khalayak memerlukan khidmat media massa sepenuhnya bagi mendapatkan berita dan orientasi berkenaan pilihan raya. Maka pembentukan dasar negara dapat dilakukan dengan sempurna dengan bantuan perkembangan media massa yang pesat setelah berjaya menyalurkan informasi yang berkesan kepada khalayak sepanjang musim pilihan raya berlangsung(Mohd. Hamdan Hj.Adnan. 1995. Pendapat Umum. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka).

Media massa bijak mengatur kaedah-kaedah tertentu menyebarkan maklumat mengenai pilihan raya khususnya melibatkan parti pemerintah bagi menguasai pendapat khalayak membuat keputusan dalam pengundian. Antara teknik yang digunakan ialah pemilihan berita untuk diterbitkan, penekanan berita, gambar-gambar yang digunakan, cara berita itu dipersembahkan, tajuk berita yang digunakan dan bilangan halaman berita tersebut dapat mempengaruhi pendirian khalayak (Syed Arabi Idid.1994). Media massa dilihat seperti ‘tangan kerajaan’ kerana kebanyakan institusi media dikawal oleh institusi politik sesebuah negara. Menurut pendapat ahli falsafah terkenal iaitu Karl Marx menyatakan ‘sekiranya mahu menguasai pemikiran rakyat perlulah menguasai institusi media dahulu’.

Hal tersebut menunjukkan bahawa media massa mempunyai pengaruh kuat dalam pembentukan pemikiran dan pendapat khalayak memilih kepemimpinan yang difikirkan dapat membela nasib rakyat dan memajukan ekonomi negara.

PENGARUH MEDIA MASSA DALAM PILIHAN RAYA
Institusi media massa berpengaruh dalam bidang politik khususnya dalam pilihan raya sesebuah negara. Para wartawan dan ahli politik mempunyai perkaitan rapat antara satu sama lain yang berinteraksi dalam lingkungan komunikasi politik. Ahli politik menggunakan media untuk tujuan menyempurnakan matlamat politik dan pada masa yang sama para wartawan menggunakan media massa bagi menyampaikan utusan politik contohnya isu berkaitan pilihan raya. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa hubungan antara ahli politik, wartawan dan media massa sangat rapat dan saling bergantung antara satu sama lain bagi memenuhi kehendak masing-masing.

Apabila pihak pemerintah mampu menguasai akhbar-akhbar maka pertaliannya dengan media massa semakin jelas kelihatan. Hal tersebut dapat kita katakan bahawa ahli politik sebagai penyampai utusan, wartawan pula berperanan untuk mengutip dan mengumpul berita daripada sumber iaitu penyampai utusan, kemudian wartawan akan menyebarkan maklumat yang berkaitan untuk dikemukakan kepada khalayak melalui saluran media massa. Media massa berperanan sebagai alat yang mampu mencapai matlamat akhir dalam pilihan raya iaitu pencapaian kuasa (Syed Arabi Idid & Safar Hashim).


Menurut Weaver (1982), menyatakan bahawa pada peringkat awal, media berperanan untuk memperkenalkan nama dan imej calon secara umum dengan memaklumkan calon-calon yang bertanding dalam pilihan raya kepada khalayak (Syed Arabi Idid (1994:15). Menurut Goldenberg & Traugott (1987), khalayak dikatakan terlalu terdedah kepada media massa secara umum menyebabkan khalayak dapat mengenali calon yang bakal menerajui kepimpinan negara dan menerusi iklan-iklan kempen khususnya di dada-dada akhbar dan televisyen, khalayak juga merangkap sebagai pengundi akan dapat membuat satu rating untuk pemilihan awal terhadap calon-calon yang bertanding (Syed Arabi Idid (1994:15).

Berdasarkan pandangan McQuail (1987), media massa juga berperanan sebagai penyebar kempen iaitu khalayak akan membentuk satu pandangan yang selari dengan imej dan mesej yang ditonjolkan melalui media massa berkaitan dengan kempen pilihan raya apabila khalayak terlalu didedahkan dengan imej serta mesej yang sama sahaja.
Media massa berperanan sebagai sebuah institusi yang mempunyai pengaruh kuat dalam bidang politik khususnya semasa musim pilihan raya. Media cetak seperti akhbar dan majalah amat berpotensi menguasai pemikiran khalayak kerana pada musim pilihan raya, akhbar dan majalah menjadi tumpuan khalayak memperolehi berita terkini.

Manakala media elektronik seperti televisyen dan radio juga tidak kurang hebatnya berkempen pilihan raya namun kebiasaannya lebih majoriti kepada pihak pemerintah. Maka bagi parti pembangkang mereka akan menyebarkan ideologi politik mereka melalui penulisan berita atau rencana menerusi akhbar online dan blog bagi mempengaruhi khalayak agar mengetahui matlamat mereka adalah untuk membela nasib rakyat disamping mencapai hasrat untuk menguasai tampuk pemerintahan kerajaan.

Maklum balas daripada khalayak dan penyebaran maklumat menerusi blog merupakan salah satu medium yang sangat berkesan bagi berkongsi pendapat secara bebas tanpa bimbang akan sekatan oleh mana-mana pihak. Budaya masa kini yang menjadikan blog sebagai salah satu bentuk eksplorasi baharu dunia maya yang mempromosikan kebebasan gerakan maklumat tanpa batasan9 menjadi bonus kepada parti pembangkang juga pihak pemerintah untuk mengambil peluang yang ada bagi membuat liputan terkini malah saling bersaing antara satu sama lain supaya dapat kepercayaan penuh daripada rakyat.


Berdasarkan Teori Kegunaan dan Pemuasan (Blumber & Katz, 1974) tentang penggunaan media massa telah memberikan alternatif untuk melihat hubungan antara isi kandungan media dengan khalayak(Samsuddin A.Rahim,1993).Kesan media terhadap kempen politik dan penyertaannya adalah perantaraan dengan apa yang khalayak harapkan dari liputan media. Bagi memuaskan kehendak khalayak, media akan sentiasa bersaing dengan sumber-sumber lain untuk menjadi sumber saluran maklumat utama kepada khalayak. Disamping itu, khalayak yang berusaha menentukan media apa yang mahu dipilih bagi memenuhi keperluan mereka. Maksudnya ialah khalayak bergantung kepada pemikiran mereka untuk memilih media yang boleh memberi kepuasan kepada diri mereka (Zhongshi Guo (2000:133).Media massa bukan sahaja berperanan penting terhadap khalayak untuk menyebarkan maklumat pilihan raya malah pada masa yang sama cuba memenuhi kehendak dan kepuasan khalayak terhadap institusi politik negara.

Berdasarkan situasi pilihan raya yang banyak dikaitkan dengan peranan media massa mampu mempengaruhi pendapat khalayak. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa khalayak kini lebih mempercayai berita yang terkandung di dalam media massa itu sendiri kerana media massa dapat menentukan agenda dalam masyarakat. Kredibiliti media massa juga penting kerana khalayak akan terus menggunakan media untuk memperolehi maklumat sekiranya mereka yakin dengan media. Selain itu, penentuan agenda dalam perbincangan khalayak khususnya mengenai pilihan raya dapat dilakukan kerana keyakinan khalayak terhadap kredibiliti media adalah kuat, bermakna maklumat yang disalurkan oleh media tersebut dapat menyaingi media lisan (Syed Arabi Idid, 1994: 50-51).

Isu yang dibangkitkan dalam media massa perlu mempunyai persamaan dengan isu yang dibincangkan oleh khalayak supaya wujud perhubungan atau pertalian berkaitan antara agenda media dan agenda publik. Namun begitu, bukan semua agenda yang ditonjolkan oleh media massa mampu mempengaruhi khalayak kerana berlakunya perbezaan agenda yang dibincangkan dalam masyarakat (Syed Arabi Idid (1994: 50-51). Namun begitu, keberkesanan media massa adalah amat sukar untuk diukur kerana berkemungkinan pada kajian lepas menggunakan sistem ukuran kekuatan pengaruh media massa tidak begitu peka dengan keadaan sebenar. Contohnya menurut Neolle-Neumann (1985,1979), mengkaji situasi pengundi semasa pilihan raya umum menunjukkan bahawa kekuatan pengaruh media massa terhadap sikap dan pemikiran pengundi dapat dibuktikan (Syed Arabi Idid (1994: 50-51).

Situasi pilihan raya amat genting terutamanya semasa kempen pilihan raya dijalankan. Hal tersebut disebabkan semua khalayak iaitu para pengundi masing-masing sibuk membincangkan isu-isu berkaitan pemilihan pemimpin terutamanya memfokuskan kepada sesebuah parti politik tidak kira pihak kerajaan ataupun pihak barisan alternatif. Media massa pada jangka waktu tersebut mampu memanipulasikan penonton yang bersifat reaksionari (berfikiran kolot) dari aspek politik. Menurut McCombs dan Shaw (1976), dalam pendekatan Teori Penentuan Agenda menyatakan bahawa media massa berupaya memindahkan kepentingan sesuatu isu berita kepada agenda umum disebabkan khalayak menganggap penting perkara yang diberi tumpuan oleh pihak media (Saodah Wok, Narimah Ismail dan Mohd. Yusof Hussain,2005). Oleh yang demikian, pihak yang terlibat dalam pilihan raya dapat membawa ideologi mereka menerusi media massa menjadi agenda umum.

Teori tersebut membuat andaian bahawa sekiranya media massa memberi lebih tumpuan kepada beberapa isu berkaitan pilihan raya dan mengurangkan perhatian kepada beberapa isu yang lain, maka media mampu mempengaruhi pendapat publik secara langsung. Media massa berperanan menentukan berita utama berkaitan pilihan raya dan pada masa yang sama khalayak juga akan lebih mengetahui hal berkaitan pilihan raya lalu menentukan kepentingan sesuatu isu mengikut susunan kepentingan yang diberikan oleh media (Samsuddin A.Rahim,1993:71). Berasaskan andaian tersebut, media mempunyai kuasa mempengaruhi pendapat khalayak dalam undian pilihan raya dengan menentukan agenda terhadap perkara yang dibincangkan dalam sesebuah masyarakat (Samsuddin A.Rahim,1993:71). Iklan-iklan politik yang disiarkan menerusi media arus perdana kebiasaannya menceritakan tentang kekuatan dan kebaikan parti pemerintah serta kelemahan pihak pembangkang.

Hal ini menunjukkan bahawa media itu sendiri telah menentukan agenda apa yang khalayak perlu tahu menerusi kandungan media dan khalayak sememangnya terpengaruh dengan agenda yang ditonjolkan tersebut. Kebiasaannya khalayak akan terpengaruh dengan suara media massa semasa pilihan raya kerana mereka menganggap media massa adalah satu-satunya sumber yang boleh dipercayai sepenuhnya, maka secara tidak langsung media telah berjaya mempengaruhi pemikiran khalayak kecuali bagi sesetengah individu yang berfikiran lebih kritis akan cuba mencari alternatif lain.


KESIMPULAN
Mampukah media massa mempengaruhi khalayak dalam pilihan raya?. Secara keseluruhannya, agenda yang ditonjolkan dalam media massa sememangnya mampu mempengaruhi pemikiran khalayak dalam membuat keputusan untuk mengundi pihak yang difikirkan mampu membawa kepada kemajuan negara disamping membela nasib rakyat. Berdasarkan pendekatan teori-teori tersebut seperti Teori Kegunaan dan Pemuasan serta Teori Penentuan Agenda, telah banyak memberi beberapa maklumat bagi mengkaji pengaruh media massa dalam pilihan raya. Media massa juga mampu membentuk pendapat khalayak dengan saling bertindak balas dengan komunikasi interpersonal.

Hal tersebut juga bergantung kepada khalayak untuk menentukan jenis media yang dapat memenuhi kehendak mereka terhadap isu-isu berkaitan pilihan raya. Media massa dikatakan mempunyai kuasa yang kuat dalam membentuk pendapat umum dalam pilihan raya kerana perkembangan teknologi kini yang semakin canggih dan dikendalikan secara langsung menyebabkan khalayak memberi tumpuan sepenuhnya terhadap media massa. Kesimpulannya, memang tidak dapat dinafikan bahawa media massa sememangnya berpengaruh besar dalam situasi pilihan raya yang berperanan mengawal pemikiran khalayak terhadap sesebuah parti politik yang terlibat dalam pilihan raya.


RUJUKAN
G.Manimaran. 2007. Dewan Masyarakat (Jilid 45.Bil.11) Revolusi Akhbar. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd. Daud Mat Din. 2007. Dewan Masyarakat (Jilid 45.Bil.11) Blog: Kebebasan Bersuara. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd. Hamdan Hj.Adnan. 1995. Pendapat Umum. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Padilah Hj.Ali. 2007. Dewan Masyarakat (Jilid 45. Bil.10) Kebebasan Media Membinasakan Negara?. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Samsuddin A.Rahim. 1993. Komunikasi Asas. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Saodah Wok. Narimah Ismail & Mohd.Yusof Hussain. 2005. Teori-Teori Komunikasi. Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.

Syed Arabi Idid. 1994. Penentuan Agenda: Peranan Media Massa dalam Pilihanraya Umum. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Syed Arabi Idid & Safar Hashim. Pilihan Raya Umum Satu Perspektif Komunikasi Politik
http://www.karyanet.com.my/knet/ebook/preview/p_Pilihan_Raya_Umum_Satu_Perspek tif_Komunikasi_Politik.pdf

Zhongshi Guo. 2000. Media Use Habits, Audience Expectations and Media Effects in Hong Kong’s First Legalislative Council Election. Gazette. 2(62): 133-151.


copyright by SUTERA KASIH
please do not copy & paste for your assignment, thanks :]
if you copy, it means PLAGIAT ~
but you can take some important point from this reference


sharing is caring is sweet
ONLY SUTERA,
Bookmark and Share

Comments

yo ..! kt sni ak mik definisi media massa kaw tp mlgnyer xtw namer penuh kaw so ak just letak (Syaza, 2010) jer ah kt lam kajian propaganda aku ehehe .. not plagiat oke ;)

peace
[sutera kasih] said…
@♕ Kyosuke Damon ♕:
oppsss..buat kerja official ke tu?
sorry, sy tak letak citation maksud media massa tu..ayat tu sy buat sendiri tp idea asal maksud tu sy lupa letak sumber sepatutnya..rasanya sy dpt dari kamus komunikasi dewan bahasa tu..

Popular posts from this blog

TIPS RUNCINGKAN DAGU DAN KURUSKAN PIPI DENGAN MUDAH

Bentuk-bentuk muka sumber: Google Image
PIPI DAN DAGU. Kedua-duanya saling berkaitan dan selalu menjadi masalah utama kepada wanita. Saya pun mengalaminya haha. Kita ni kan para wanita, memang paling pantang bila orang tegur bahagian pipi dan double chin iaitu bawah dagu kita. Betul tak? Jangan tipu jangan bohong. Biasalah, kita semua ni mahu sentiasa cantik dan indah di pandangan mata manusia lain terutamanya di mata orang yang kita sayang, lagi-lagi bagi yang sudah berkahwin mestilah nak sedapkan mata suami masing-masing. Kalau ada 'boyfriend belum sah taraf' (bukan suami sah) dah memandai tegur kau tu gemuk atau perut buncit atau pipi tembam dan sewaktu dengannya, janganlah kecil hati sangat. Maksudnya, dia belum dapat nak terima kau seadanya, kau suruh saja dia cari perempuan cantik sempurna yang boleh 'kenyangkan' mata dia haha. Rileks lah, ingat janji Allah Taala, setiap kita punya jodoh yang baik dan boleh terima kau seadanya. Oyeahhh ! Nak cerita pasal tips pipi …