Thursday, October 15, 2015

TIPS HANTAR ANAK KE TASKA

Assalamualaikum dan hello :)

1. Rasanya lama sangat dah nak tulis entri berkaitan Tips Hantar Anak Ke Taska. Memandangkan hampir dua tahun dalam bidang ini, pelbagai karenah anak-anak, ibu bapa, pemilik dan pengasuh taska yang saya hadapi, malah macam-macam perkara sudah dihadam. Pelbagai cabaran setelah menceburi bidang pendidikan awal kanak-kanak di taska walaupun saya degree holder. Bukan mudah untuk berhadapan dengan pelbagai karenah manusia dari peringkat bayi hinggalah berumur 4 tahun, tabiat sesama rakan kerja dan majikan, ibu bapa dan juga masyarakat.

2. Sebelum saya bercerita lebih panjang lebar, saya kongsikan terlebih dahulu Tips Hantar Anak Ke Taska untuk panduan ibu bapa yang baru bercadang untuk menghantar anak ke taska. Ini hanya sekadar pendapat peribadi saya selama bekerja dalam dunia taska. Saya harap perkongsian ini dapat membantu melegakan hati ibu bapa di luar sana yang saya faham masih ragu-ragu untuk menghantar anak-anak ke taska. Maklumlah, ibu bapa mana yang tak sayangkan anak, kan? Kalau boleh, semua ibu bapa nak jaga anak mereka sendiri tapi demi masa depan keluarga, terpaksa berkorban masa. Semua ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Mari saya kongsikan antara perkara yang perlu dibuat sebelum menghantar anak ke taska.

3. TIPS MEMILIH TASKA

Berdasarkan pengalaman Puan Nana di dalam blog Villa Bonda :
  • Daftar dengan JKM - Pastikan taska yang dipilih itu berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
  • Pemilik Taska - Kenali siapa pemilik taska. Boleh cuba selidik siapa pemilik itu, adakah beliau mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh JKM.
  • Pekerja Taska - Seeloknya pastikan pekerja taska dihantar kursus yang dianjurkan oleh JKM.
  • Silaturrahim - Jaga hubungan dengan pekerja taska. Berbaiklah dengan mereka supaya kita boleh tahu dan selidik tentang taska dan owner. Pastikan owner taska adalah seorang yang penyayang.
  • Suasana Taska - Pastikan kita masuk dan tengok sendiri keadaan dalam taska dari dalam bilik hinggalah ke dapur dan bilik mandi.
  • Pengurusan taska - pastikan pengurusan teratur dari segi penjagaan baby dan kanak-kanak serta anak-anak yang transit sekolah.
  • Cara Penyediaan makanan - Pastikan owner mementingkan kebersihan dalam penyediaan makanan kepada anak-anak yang tinggal di taska.
  • Yuran Taska - pastikan yuran taska dan caj overtime adalah berpatutan.


4. TIPS PENYEDIAAN KEPERLUAN ANAK

Berdasarkan pengalaman setelah menjadi pengasuh yang selalu menjadi 'ejekan' netizen yang menyamaratakan bahawa semua pengasuh di Malaysia ni tidak baik huhu antara keperluan anak yang perlu diambil berat jika bercadang untuk hantar ke taska :

Pakaian - Sediakan baju, seluar, lampin pakai buang (pampers), tuala dan sapu tangan untuk tiga sesi pertukaran. Maksudnya, pakaian untuk selepas mandi pagi, tengahari sebelum tidur dan mandi petang. Kalau boleh, sediakan pakaian tambahan sebab kadang-kadang budak-budak ni di luar jangkaan kita. Kadangkala pakaian kotor sebab air minuman atau makanan terkena baju. Selain itu, kadangkala seluar kotor sebab terkencing/terberak, muntah dan masalah kulit. Saya faham mungkin ada ibu bapa yang tak mahu cuci pakaian yang terlalu banyak setiap hari, tapi kena faham juga situasi, kesian anak-anak kalau tak cukup baju huhu. Kalau boleh, bila dah pulang rumah tu, kalau tak nak mandikan sekali lagi, at least, tukarlah baju anak sebelum tidur. Jaga kebersihan anak-anak. Sebab ada juga kes, baju petang semasa di taska sebelum pulang, keesokan paginya hantar anak dengan pakaian petang kemarin :(

Lampin pakai buang - Lampin pakai buang atau lebih sinonim dipanggil pampers, sediakan juga dalam kuantiti lebih, contoh dalam sehari 3 kali tukar (tak termasuk kalau berak & kencing banyak), bayangkan kalau anak berak-berak dalam sehari, pampers tak cukup. Tak masuk lagi kalau kanak-kanak umur 2 dan 3 tahun yang memang dah tak pakai pampers, tapi masa tidur tengahari kena pakai pampers sebab mereka belum pandai nak bangun pergi kencing. Jadi kena juga bawa pampers sendiri. Kadang-kadang terpaksa pakaikan pampers kawan yang lain, lepas tu maklumkan dengan ibu bapa untuk ganti semula pampers kawannya. Pengasuh pun jadi serba salah nak ingatkan benda-benda macam ni setiap hari, kadang sampai terlupa nak bagitau sebab bukan seorang budak nak ingat huhu. Jangan risau, pengasuh tak ambil pun pampers tu, sebab ada CCTV di setiap sudut taska :)

Keperluan Mandian - Kami faham ibu bapa bayar yuran setiap bulan, tapi kena fikir juga, kulit anak-anak bukannya semua sama. Ada yang sensitif dan ada yang normal. Kalau kulit normal, baguslah boleh guna sabun dan syampu yang disediakan di taska. Kebanyakan ibu bapa di taska saya bekerja, hampir semua menyediakan keperluan toileteries anak-anak. Sabun mandi, syampu, berus gigi dan ubat gigi. Setiap kali anak-anak bawa keperluan mandian, memang kami akan tulis tarikh di setiap botol sabun dan syampu mandi supaya ibu bapa tidak salah sangka dengan pengasuh.

Botol Susu dan Botol Minuman - Yang ini sangat penting sebab benda ni tak boleh kongsi dengan kawan yang lain. Jadi, kena bawa sendiri. Boleh tinggalkan botol yang khas untuk kegunaan anak-anak di taska dan boleh juga bawa pulang setiap hari. Tapi, yang bawa pulang setiap hari memang kadang-kadang boleh lupa nak bawa. Kesian ibu bapa ulang alik ke taska sebab nak hantar botol. Jadi, untuk memudahkan, sediakan botol khas untuk kegunaan anak di taska sahaja. Tak perlu beli yang mahal pun, asalkan yang selamat diguna untuk anak :) Oh ya, mungkin ada ibu bapa yang masih ragu-ragu dengan kebersihan air di taska, bolehlah bawa air sendiri dari rumah.

Makanan dan Susu Formula - Makanan pula, biasanya memang pihak taska sediakan sebab dah termasuk dalam yuran. Makanan untuk sarapan, tengahari dan petang. Susu pula memang kena bawa sendirilah dari rumah. Boleh tinggalkan di taska ataupun bawa setiap hari, terpulang dengan keselesaan masing-masing. Bagi bayi pula, biasanya memang ibu bapa akan bawa makanan bubur sendirilah sebab menjaga pemakanan bayi 6 bulan ke atas. Tapi, boleh juga 'request' pihak taska sediakan untuk bubur bayi sebab memang ada dalam menu harian. Bayi yang masih menyusu badan pula, biasanya ibu akan ke taska untuk menyusukan bayi ikut waktu yang terluang dan ada juga yang sediakan susu yang sudah sedia dipam di dalam botol untuk disimpan di dalam peti sejuk.

Keperluan pembelajaran - Bagi kanak-kanak berumur 2 hingga 4 tahun, pihak taska dah sediakan keperluan alat tulis dan buku-buku untuk pembelajaran sebelah pagi. Jadi, ibu bapa tak perlu risau nak beli pensil tulis, pensil warna dan buku. Kalau nak bagi anak-anak gembira dan tak sabar pergi taska (sebab ada juga anak-anak yang takut pergi taska dan kadang-kadang pandai dengki juga tau tengok kawan yang ada beg frozen hehe), bolehlah belikan diorang beg sekolah ke untuk naikkan semangat pergi taska sebagai persediaan masuk tadika hehe

Bantal dan Tilam - Pihak taska dah sediakan juga bantal, tilam dan katil untuk waktu tidur tengahari. Tapi, boleh juga bawa sendiri sebab manatau ada yang lebih selesa guna bantal dan tilam sendiri. Sebab ada juga yang jenis kulit sensitif, memang kena bawa tilam dan bantal sendiri untuk kebaikan anak-anak.


5. Cukuplah setakat ini perkongsian berkaitan tips hantar anak ke taska. Lain kali saya kongsi lagi pengalaman jadi pengasuh, sebelum ni dah kongsi di entri Pengalaman Pengasuh Taska. Apa-apa pun, sentiasa ambil tahu keperluan anak-anak di taska. Kalau dah hujung bulan tu, rajin-rajin bertanya kepada pengasuh apa keperluan anak yang diperlukan, tunjukkan sikit rasa ambil berat dengan anak sendiri. Kerja, kerja juga tapi jangan sampai terlupa keperluan anak. Bina hubungan baik dengan pengasuh, jangan pandang pengasuh sebelah mata saja huhu. Pengasuh pun manusia juga ada hati dan perasaan, kalau tak nak bertegur sapa sekalipun, cukuplah sekadar senyuman atau ucapan terima kasih setiap kali ambil anak pulang. Senang juga hati pengasuh bila nak berhadapan dengan ibu bapa yang menjadi pengantara rezeki dari Allah Taala :)

6. Perkara paling penting, jika anak sakit, mohon maklumkan kepada penyelia taska dan pengasuh anak-anak, supaya diperhatikan perkembangannya dan memaklumkan kepada ibu bapa. Sebab ada juga kes, ibu bapa tak nak maklumkan (tak pastilah tak nak atau lupa) sebab kalau budak sakit teruk dan sakit berjangkit, memang pihak taska tak boleh nak terima kehadiran mereka sehingga sembuh untuk mengelakkan kanak-kanak lain berjangkit. Contohnya, sakit kaki, tangan dan mulut memang boleh berjangkit. Simptom awal penyakit tersebut memang susah kita nak pastikan, jadi jika ada kanak-kanak yang demam panas dan timbul bintik-bintik memang kitorang akan hubungi ibu bapa untuk bawa ke klinik. Ada juga jenis ibu bapa yang tunggu sampai suhu badan anak panas, baru lah nak turun ambil anak. Janganlah macam tu, sebab demam panas tak boleh dipandang remeh. Bahaya. Ada lagi, anak dah memang sakit perut cirit birit dari rumah, tak maklumkan dengan pihak taska. Sampai ja di taska, muka pucat badan sejuk, lepas tu tercirit di seluar. Kesian sangat. Bila dah maklumkan dengan ibu bapa, barulah nak bagitau rupanya serumah kena cirit birit. Adoiyai. Kami pun faham, tak boleh nak ambil cuti selalu jaga anak sakit, tapi sekurang-kurangnya maklumkan kalau anak kurang sihat.

8. Tips tambahan, kalau dah habis waktu bekerja dan selesai urusan penting, cepat-cepatlah jemput anak pulang dari taska. Ini bukan isu pengasuh malas nak jaga anak, kami pun faham sistem 'saya bayar, kau buat kerja'. Tapi, kadang kesian tengok anak-anak yang lambat kena ambil, duduk termenung sorang diri tunggu dijemput sebab kawan-kawan lain dah awal pulang. Jangan fikir anak kecil tak pandai kecil hati tau? Pandai. Kadang ada budak tu buat muka masam tak nak senyum dengan parents kalau parents ambil lewat (yang tanpa hubungi pihak taska sebab lambat ambil). Kalau ada yang call inform awal-awal, kami akan bagitau la kat budak tu, supaya budak faham. Paling lewat jemput anak pun setakat ni yang pernah saya jumpa, lepas magrib tapi ada inform kat pihak taska, biasanya disebabkan traffic jammed. Lain kes pula, yang berlaku pada orang yang saya kenal, mengasuh di rumah persendirian, bukan di tempat kerja saya ya. Dia kongsi cerita, ada sesetengah parents sampai jam 8 baru nak jemput anak, tak maklumkan pulak tu ambil lewat. Ada juga tu, nak pergi bercuti, hantar anak ke rumah pengasuh tidur bermalam, sanggup pula bayar lebih. Ada lagi kes paling saya tak boleh terima akal, alasan hantar anak ke rumah pengasuh hujung minggu sebab anak selalu menangis, alasan konon rapat dengan pengasuh. What? Itu tak termasuk lagi kes suka tangguh-tangguh bayar yuran, kalau hujung tahun musim cuti sekolah tu haaa lagilah memang liat nak bayar. Kena ingat, pengasuh pun manusia juga, bukan robot :)

9. Walau apa pun cabaran menjadi pengasuh, saya suka dengan kerja tersebut. Bukan semua orang berpeluang merasai pahit manis sebagai pengasuh taska. Insha Allah, mungkin tahun ini tahun terakhir bekerja di taska. Bukan sebab tak suka jadi pengasuh, adalah sebab munasabah peribadi hehe. Insha Allah, jika diizinkan Allah Taala, tahun depan sambung lagi bekerja dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak tapi bukan di taska hehe. Doakan saya ya agar dipermudahkan perjalanan hidup saya walaupun tak sesempurna rakan yang lain tapi alhamdulillah saya bersyukur dengan perjalanan hidup saya :)

#NOTAKAKI : Bukan semua pengasuh taska tu kejam dan jahat, jangan disebabkan nila setitik, rosak susu sebelanga :)

TAG: TASKA MALAYSIA, PENGASUH TASKA, PENGASUH BUDAK, PENGALAMAN PENGASUH, TIPS TASKA, TIPS HANTAR ANAK TASKA, TIPS JAGA ANAK TASKA, TIPS PILIH TASKA, TAMAN ASUHAN KANAK-KANAK, PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK

Anda sedang membaca artikel TIPS HANTAR ANAK KE TASKA dan link url bagi artikel ini adalah http://suterakasihyann.blogspot.com/2015/10/tips-hantar-anak-ke-taska.html
Semoga artikel TIPS HANTAR ANAK KE TASKA ini dapat memberi manfaat untuk semua.

4 COMMENTS:

Nurzakiah Hanum said...

great tips

Uncle Zuan said...

dah boleh ada anak ni hehehe

Hafizul said...

Terima kasih diatas tips yang diberikan..memang nak kena pilih betul2..tersilap pilih merana badan..

Ainaa Atikah said...

Tips berguna.thanks